SEJARAH PENUBUHAN UNIT PERKHIDMATAN BIMBINGAN DAN KAUNSELING

Unit perkhidmatan bimbingan dan kaunseling SMK Bandar Kuching No.1 bermula pada tahun 1996. Pada peringkat awal, Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dikendalikan oleh guru akademik. Maka, kebanyakan perkara berkaitan dengan Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling tidak dapat dijalankan disebabkan mereka meluangkan lebih banyak masa untuk pengajaran dan pembelajaran dan juga mereka tiada pengalaman menjalankan tugas Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.

Selepas beberapa tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, pihak sekolah menerima surat perlantikan 3 orang guru sebagai Guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa (GBKSM) yang mempunyai kelayakan Bimbingan dan Kaunseling untuk menjalankan tugas di unit ini. Sejak itu, GBKSM diberi pengecualian mengajar dan menumpukan perhatian dalam menjalankan tugas Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling di sekolah. Dengan itu, wujudlah sebuah Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling yang lebih bersistematik dan terancang yang bertujuan untuk mencapai visi dan misi Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling.

Disebabkan sekolah kekurangan bilik, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah ditempat di sebuah bilik kecil di antara Makmal Sains 1 dan 2 di Blok B. Bilik Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling itu adalah untuk menyimpan dokumen dan juga menjalankan sesi kaunseling individu sahaja. Semua GBK membuat kerja di Bilik Guru. Sesi Kaunseling Kelompok dijalankan di Bilik Sumber Sekolah. Walaubagaimanapun, semua GBK menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan komitmen.

Pada tahun 2006, apabila pengetua baru, En. Bong Jin Fu pindah ke sekolah ini, beliau membenarkan kami menggunakan sebuah bilik saiz 23’ x 17’ untuk Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Sejak itu, GBK berusaha membuat pengubahsuaian dengan mencari dana untuk menaiki taraf bilik Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling dari bantuan pihak sekolah dan agensi luar, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah dinaikkan taraf untuk menjadi sebuah bilik yang lebih kondusif dan teraputik. Sejak itu, Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling banyak berusaha untuk menjadikan Unit ini sebagai sebuah unit yang berkualiti dan cemerlang. Akhir kata, diharap Unit Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling SMK Bandar Kuching No.1 boleh menjadi sebuah unit yang berkualiti, cemerlang dan sentiasa maju dan jaya.